Kolesterol punca penyakit jantung?

Share

sumber : www.sinarharian.com.my

Beberapa fakta kesihatan yang selama ini diguna pakai golongan perubatan moden sebenarnya dikenali sebagai mitos oleh sebahagian pakar perubatan alternatif. Mitos yang sering disangka sebagai kebenaran ini ada diguna pakai kebanyakan pengamal perubatan moden, pakar pemakanan, dan pengamal penjagaan kesihatan alternatif.

Mitos ini menjadi popular kerana sering disampaikan secara berulang-ulang oleh media elektronik dan media cetak. Ia juga disampaikan melalui syarahan di universiti, ceramah dan dalam bentuk perbualan. Semua mitos ini dihafal bagai seseorang mengingati sifir dua.

Sekali dengar, tidak memberi kesan. Apabila didengar berulang kali, ia sebati dalam hati sebagai kebenaran. Mitos itu secara terus-menerus menjadi amat popular walaupun sains membuktikan ia tidak benar. Alasan yang diberikan doktor ialah terdapat kajian sains yang membuktikannya.

Hakikatnya sebahagian besar doktor dikatakan sekadar menghafal sesuatu kenyataan yang popular kalangan majoriti. Mereka mungkin tidak pernah atau jarang sekali menyingkap artikel dalam jurnal profesional. Ada juga tidak tahu bahawa terdapat kajian yang dinilai saintis sebagai kajian lemah atau bermasalah.

Mereka juga perlu tahu bahawa terdapat kajian yang berat sebelah. Maksudnya kajian ditaja pengeluar ubatan yang berkepentingan di mana keputusan kajian ditentukan lebih awal agar memihak kepada keperluan perniagaan mereka.

Makan makanan berlemak tepu mampu menyebabkan arteri jantung tersumbat adalah fakta jika dinilai menurut perspektif perubatan moden. Sebaliknya jika dilihat sebagai mitos sebahagian pakar perubatan alternatif, zaman nenek moyang dahulu hidup dengan minyak kelapa dan santan.

Namun begitu beberapa dekad yang lalu tiba-tiba golongan perubatan moden mencadangkan agar makanan berlemak tepu seperti santan dan minyak kelapa perlu diambil pada kuantiti yang paling minimum kerana ia meningkatkan kolesterol yang dikaitkan dengan masalah jantung.

Bahaya lemak terproses

Maka hipotesis lemak tepu-kolesterol-penyakit jantung diterima sebagai fakta atau kebenaran. Tanyalah kepada mana-mana doktor perubatan moden pun, pakar pemakanan konvensional dan pengamal penjagaan kesihatan alternatif nescaya anda akan dapati jawapan yang seragam iaitu lemak tepu meningkatkan kolesterol dan seterusnya kolesterol menyebabkan arteri jantung tersumbat.

Makan makanan berlemak menyebabkan obesiti juga diterima sebagai fakta oleh golongan perubatan moden. Namun jika dinilai secara teliti seseorang akan dapati bahawa asid lemak yang berbeza memberi kesan fisiologi berbeza kepada tubuh. Bukan sahaja dari segi kategori, malah panjang pendek rantaian karbon juga mempengaruhi fisiologi secara berbeza.

Realiti yang berlaku ialah pengambilan lemak daripada kategori omega-3 dan lemak tepu seperti santan kelapa, minyak kelapa dara dan mentega susu asli dikaitkan dengan kadar yang lebih rendah untuk mengalami obesiti. Semua lemak tersebut sebenarnya adalah lemak sihat.

Yang berbahaya ialah lemak terproses seperti marjerin terutama yang diperbuat daripada asid lemak kategori omega-6 seperti minyak jagung dan minyak bunga matahari. Proses hidrogenisasi menghasilkan lemak trans.

Kajian menunjukkan ia berbahaya walaupun pada kuantiti yang rendah. Struktur lemak trans tidak sama dengan struktur lemak tepu. Namun pakar penjagaan kesihatan moden sering tersasul apabila menyamakan lemak tepu dengan lemak trans.

Lemak trans dan minyak kategori omega-6 mengganggu metabolisme. Lemak omega-6 berlebihan dikatakan mengganggu fungsi mitokondria untuk menjana tenaga. Ia juga dikaitkan dengan kedatangan haid pra-matang pada remaja perempuan.

Walaupun kajian contohnya yang terbit dalam Journal of Applied Physiology (2006) mendapati lemak tepu membentuk kekebalan insulin pada tikus dan sebaliknya lemak poli tidak tepu tidak menyebabkan kekebalan insulin namun realiti yang berlaku kepada manusia adalah berbeza.

Kekebalan insulin ialah keadaan reseptor insulin yang terletak pada membran sel tidak menerima hormon insulin untuk berlabuh padanya. Keadaan ini menyebabkan GLUT 4 iaitu sejenis pengangkut diperbuat daripada protein yang berfungsi mengangkut glukos ke dalam dibina dalam jumlah yang berkurangan.

Jumlah GLUT 4 yang rendah ini seterusnya menyebabkan glukos tidak dapat dibawa masuk ke dalam secara cekap. Inilah punca mengapa paras insulin dan glukos tinggi dalam darah apabila berlaku kekebalan insulin seperti yang dialami oleh penghidap diabetes jenis 2 (type 2).

Radikal bebas

Realitinya penghidap diabetes yang mengambil 3-5 sudu besar minyak kelapa dara setiap pagi (beberapa sudu pada hari sama) dan mengamalkan jenis makanan yang sesuai biasanya akan mendapati paras gula boleh dikawal dengan baik apabila diamalkan berterusan.

Makanan saranan penulis untuk merawat diabetes jenis ke 2 ialah tinggi lemak, tinggi serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan tidak manis yang dikisar, sedikit protein serta elak karbohidrat terproses seperti nasi dan produk tepung gandum. Seperti dinyatakan di atas, kebanyakan orang termasuk doktor menggunakan hipotesis lemak tepu-kolesterol-penyakit jantung.

Hakikat lemak tepu disentuh sedikit dalam beberapa perenggan sebelum ini. Kedua-dua lemak tepu dan kolesterol sebenarnya adalah nutrien yang amat berharga. Antara lain tubuh menggunakannya untuk menstabilkan struktur membran sel, fungsi hormon dan metabolisme kalsium. Kolesterol ialah sejenis antioksidan dan bahan asas untuk pembinaan vitamin D dan hormon reproduktif.

Paras kolesterol turun naik ialah sesuatu normal. Menghisap rokok, resah, murung, gula tinggi dan sering makan makanan merapu meningkatkan kolesterol. Begitu juga dengan makan berlebihan, detoks tidak cekap dan sering ambil ubatan moden. Faktor tersebut meningkatkan radikal bebas.

Jadi punca arteri tersumbat ialah serangan radikal bebas, bukan kerana serangan kolesterol. Paras radikal bebas yang tinggi merosakkan membran sel. Kolesterol dikesan tinggi dalam darah kerana ia digunakan untuk memperbaiki membran sel yang rosak!

Dasar langit terbuka dengan teknologi internet sepatutnya digunakan konsumer sebaik mungkin untuk menggali ilmu. Terdapat beberapa laman sesawang yang memuatkan artikel dan perbincangan berkaitan jenis lemak dan kolesterol dari perspektif saintis alternatif.

Antara laman sesawang terulung yang membincangkan perkara ini ialah Weston A Price Foundation. Ia menyokong penggunaan lelemak tepu seperti minyak kelapa, minyak kelapa sawit, lemak haiwan, minyak sapi dan mentega susu asli. Hujah yang digunakan disokong kajian sains yang tidak pernah diketahui kebanyakan doktor dan pakar pemakanan konvensional.

Artikel berjudul The Skinny on Fats tulisan Dr Mary Enig dan Sally O Fallen iaitu pengasas pertubuhan tersebut adalah artikel yang paling terkenal dalam membincangkan topik asas berkenaan asid lemak dan kolesterol dari pelbagai sudut.

Share

One thought on “Kolesterol punca penyakit jantung?

  1. Pingback: Kebaikan Produk Double StemCell | Double StemCell :: Kesihatan Menyeluruh Dari Sumber Alam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *