Perut BUNCIT tanda awal penyakit

Share

sumber : www.utusan.com.my

SOALAN :

Ketika bersembang dengan rakan-rakan, ramai yang mengutarakan masalah yang sama iaitu perut semakin buncit selepas berkahwin. Saya ingin bertanya, adakah perut buncit merupakan masalah kesihatan? Bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini.

-Zubir, Kelantan.

Saudara Zubir,

Terima kasih atas soalan yang saya kira sangat penting untuk diketahui ramai, sama ada kaum lelaki mahupun kaum wanita. Mungkin disebabkan cara kehidupan kita yang tidak aktif ditambah dengan pemakanan yang tidak sihat, maka berlakulah masalah perut buncit ini.

Ramai orang kerap bergurau dengan mengatakan perut buncit ini tanda bahagia atau tanda kemewahan tetapi yang pastinya perut buncit telah terbukti secara saintifik berkait rapat dengan banyak masalah kesihatan termasuklah masalah jantung. Lemak yang terkumpul di perut boleh diumpamakan lemak (viseral) di dalam organ-organ dalam badan termasuklah hati, jantung dan sebagainya.

Semakin buncit perut menandakan seseorang itu semakin tidak sihat. Ukuran lilit yang ideal bagi kaum lelaki ialah 90 sentimeter dan bagi wanita ialah 80 sentimeter.

Ukuran ini perlu dilakukan oleh pengamal perubatan atau mereka yang mengetahui teknik ukuran tersebut. Pergilah berjumpa dengan doktor atau jururawat bagi mendapatkan ukuran lilit perut saudara.

Perut buncit merupakan kriteria utama sebelum seseorang itu dilabelkan mendapat sindrom metabolik yang berkait rapat dengan penyakit-penyakit seperti diabetes mellitus, hipertensi, masalah jantung dan sebagainya. Tidak ada cara selain menjaga pemakanan yang baik dan melakukan senaman secara konsisten bagi mengatasi masalah perut buncit.

Mungkin cara sedutan lemak atau ‘liposuction’ boleh dilakukan tetapi kesannya adalah tidak berkekalan jika tidak mengamalkan cara hidup yang sihat. Semoga kita sama-sama berazam agar perut kita tidak buncit dan seterusnya mendapat kesihatan yang berkekalan, Insya-Allah.

Share

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *